Program j-QAF (singkatan kepada Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) merupakan satu pendekatan pembelajaran agama di sekolah di Malaysia. Idea pelaksanaan program j-QAF yang dilontarkan Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 2004 adalah untuk memperkasa sistem pengajaran penduduk Islam di sekolah.
Apa yang diharapkan melalui pelaksanaan program j-QAF ini ialah murid-murid dapat khatam al-Quran
pada tahun enam mereka di sekolah rendah, malah lebih awal daripada itu
andai semua pihak bekerja keras dan bekerjasama merealisasikannya.
Selain itu, diharapkan murid-murid dapat berkomunikasi dalam Bahasa Arab terutama aspek komunikasi mudah seharian.
Pengajaran pemulihan tulisan Jawi
dilaksanakan dengan inovasi pembelajaran menggunakan pelbagai kaedah
seperti permainan, lagu, multimedia dan seumpamanya. Inovasi ini
memberikan suntikan semangat untuk anak-anak mempelajari jawi dengan
lebih intensif dan menarik.
Sementara pengajaran Iqra dan al-Quran melalui Model Enam Bulan
Khatam al-Quran dan instrumen latih tubi tasmi' banyak membantu
anak-anak mempelajari al-Quran dengan lebih bersistematik. Kaedah
pengajaran Baghdadiah dan Iqra pula diadun cantik melalui gaya Talaqqi
Musyafahah mengikut kemampuan murid. Sesi tasmi yang dijalankan adalah
peluang untuk guru melakukan semakan terhadap perkembangan murid di
samping mencatat dan menilainya di dalam buku rekod yang disediakan.
Beberapa program tambahan seperti Kem Literasi al-Quran (KLAQ)
dilaksanakan bagi membasmi kadar murid yang lemah penguasaan terhadap
pembacaan al-Quran manakala kempen kesedaran tambahan seperti Kempen
Smart Salam menyuntik semangat cintakan kepada adab Islami sesuai dengan
pendekatan Islam Hadhari yang mementingkan aspek akhlak dan moral yang terpuji di dalam membangun ummah.