Dasar & Pekeliling

      PANDUAN DASAR DAN PELAKSANAAN j-QAF


Rujukan:


1. PENDAHULUAN

Program j-QAF berasaskan idea YAB Perdana Menteri Malaysia yang telah dinyatakan secara khusus semasa lawatannya ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 30 Disember 2003. Cetusan idea ini telah diperhalusi di peringkat Kementerian Pelajaran melalui satu seminar j-QAF pada 3 hingga 5 Mac 2004.Program j-QAF telah dilaksanakan secara uji kaji dalam projek rintis selama 3 bulan dan berakhir pada Julai 2004. YAB Perdana Menteri telah bersetuju program ini dilaksanakan mulai tahun 2005.

2. KONSEP PROGRAM j-QAF

Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam (PI) melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain yang dilaksanakan di peringkat persekolah rendah. Pelaksanaan program ini menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.

3. OBJEKTIF PROGRAM j-QAF

Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan semua murid Islam
sekolah rendah akan dapat:

a. menguasai bacaan dan tulisan Jawi;
b. khatam al-Quran;
c. menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi; dan
d. memantapkan dan menghayati amalan fardu ain.

4. KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF

Program j-QAF menjadi lebih penting sebagai suatu usaha ke arah memperkasakan PI yang sedia ada supaya semua bidang dalam PI iaitu bidang Tilawah al-Quran, Akidah, Ibadah, Sirah Nabawi, Akhlak dan Jawi lebih berkesan dan dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.